SEJARAH AWAL
Kuzie Catering & Wedding Planner telah bermula secara rasminya pada tahun 1994 dan memulakan operasi awal di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Ia telah diasaskan oleh YM Dato’ Raja Roslay Bin Raja Mazlan atau dikenali secara umum dengan panggilan ‘Pak Engku’. Pemilik Diploma Perhotelan & Katering ini telah melakukan kajian selama 3 tahun dalam bidang penyediaan juadah makanan & minuman sebelum membuat keputusan untuk fokus secara sepenuh masa dalam bidang katering & perancang perkahwinan.

PENCAPAIAN
Perniagaan yang dimulakan secara kecil-kecilan pada peringkat awal ini telah berkembang dari masa ke semasa. Dari hanya menerima tempahan orang ramai, Kuzie Catering & Wedding Planner mula melebarkan sayap perniagaan apabila mendapat perhatian golongan VVIP dan pemimpin negara. Kuzie Catering & Wedding Planner telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pelbagai jenis majlis yang melibatkan syarikat - syarikat korporat, agensi kerajaan, tokoh-tokoh kenamaan tidak ketinggalan juga golongan artis & selebriti. Setiap majlis telah dilaksanakan dengan jayanya melibatkan perancangan yang rapi dan teliti. Seiring dengan slogan syarikat iaitu "Rasa yang tiada tanding, tiada banding.", Kuzie Catering & Wedding Planner sangat menitik beratkan aspek kualiti perkhidmatan dan kepuasan pelanggan. Pencapaian syarikat Kuzie Catering & Wedding Planner juga seiring dengan peningkatan populariti 'Pak Engku' apabila beliau sering mendapat undangan sebagai tetamu jemputan bagi program-program TV tempatan dan juga sebagai penceramah motivasi di IPT tempatan. 'Pak Engku' juga telah mendapat pengiktirafan sebagai 'Chef Selebriti' dari media cetak dan elektronik. Kuzie Catering & Wedding Planner juga telah terlibat dalam menjayakan beberapa majlis resepsi perkahwinan selebriti & artis tempatan seperti Ning Baizura, Khai & Rosma, Zamarul Hisham & Diana Rafar, Fiza Sabjahan, Fazren Rafi, Awal Ashaari & Scha Al Yahya, Yusry KRU & Lisa Surihani, Irma Hasmie & Redza, Amar Baharin & Amyra Rosli.

KEHILANGAN
Pada 11 Ogos 2017, 'Pak Engku' selaku pengasas Kuzie Catering & Wedding Planner telah menghembuskan nafas yang terakhir di usia 57 tahun ketika sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam akibat masalah kesihatan. Ia telah menjadi kehilangan terbesar buat syarikat dan jenama yang telah diasaskan beliau sendiri. Pelbagai spekulasi timbul termasuk penghentian operasi syarikat. Namun segala dakwaan tersebut akhirnya terjawab.

KINI
Legasi Kuzie Catering & Wedding Planner telah diteruskan oleh isteri beliau iaitu YBhg.Datin Ramziah Samah bersama anakanda beliau, YM Raja Muhammad Danial Bin Raja Roslay dengan dibantu oleh seluruh warga kerja syarikat yang berpengalaman dan terlatih. Selepas penstrukturan semula organisasi syarikat dengan kepimpinan terbaru, Kuzie Catering & Wedding Planner berazam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti di masa hadapan bagi memenuhi kepercayaan, citarasa serta kepuasan pelanggan dari segenap lapisan masyarakat.

© 2018 KUZIE CATERING (M) SDN BHD